Dulu, masa sekolah rendah. Bila ditanya tentang idola, kita cakap:
"Mak adalah idola saya"
Kenapa?
"Mak pandai masak"
Dan, di usia menengah, kita ditanya lagi. Kali ini,
"Idola saya Dr Fazlee. Beliau pandai, ada rupa, bergaya, bijak. Saya nak jadi macam dia"
----------------------
Sekarang? Masih lagi ditanya tentang idola. Kes saya: tanya dan jawab sendiri. Idola saya ada major dan minor.
Idola major itu adalah Rasulullah. Semua orang tahu dan setuju, kan? Rasulullah adalah idola terbaik ummah. Qudwah hasanah: tiada tolok tandingnya. Baca kisah Baginda melayan isteri, menasihati sahabat, menjadi teladan; bagai ada sinar yang terpancar. Rasulullah, idola agung :)
Idola minor??
Saya ada ayah dan mak. Mereka masih dan tetap idola saya. Betapa waktu dulu saya dan mungkin kalian terlupa betapa banyaknya jasa mereka kepada kita yang bernama anak.
--------------------
Pagi ayah dah keluar kerja. Kadang tak sempat pun jamah sarapan. Mak pula dah sibuk cuci pakai baju kita. Fikir apa nak masak untuk santapan keluarga. Bukan senang nak fikir menu. Nak utamakan nutrisi dan kegemaran tiap tekak dan tembolok penghuni rumah.
Ayah pulang petang. Kebun menjadi bahan uji kajinya. Dapatlah makan sayur bayam, kangkung dan kacang panjang yang ditanam sendiri. Mak dengan orkid dan batas baru. Tolong ayah semai sayur. Ada sawi, diasinkan. Tak payah beli kat Pak cik Fuad.
"Berbudi pada tanah ada baiknya"
-----------------------------
Ayah mengalun do'a ditikar sejadah. Sebentar bersila depan anak-anak yang datang mengaji. Mak di dapur panaskan lauk untuk makan malam. Usai, makan bersama. Tonton berita.
Rindunya untuk menjengah rumah dan halaman kasih. Di sana ada pelbagai kisah dan himpunan cerita. Biar tiap idola itu berbeza, mak ayah adalah raja dan permaisuri yang bertakhta di setiap hati.
Kerna, mereka tiada ganti, dan tiada siapa sanggup berkorban seperti mereka.
No comments:
Post a Comment